Tuesday 3 May 2011

Liverpool 3-0 Newcastle

LIVERPOOL meneruskan kebangkitan mereka - meskipun sudah agak terlambat - dengan mengalahkan Newcastle United 3-0 di Anfield semalam.

Gol jaringan Maxi Rodriguez pada minit ke-10, penalti yang disempurnakan oleh Dirk Kuyt dan satu lagi gol jaringan Luis Suarez dalam separuh masa kedua, memberikan kemenangan yang selesa dan bergaya kepada anak didik Kenny Dalglish itu.

Liverpool kini melompat mengatasi Tottenham Hotspur ke tangga kelima dengan perbezaan gol yang lebih baik meskipun Spurs mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Dalam satu perlawanan yang terbuka dan pantas, Liverpool menguasai permainan dengan penjaga gawang Pepe Reina jarang-jarang digugat.
Barisan pertahanan Newcastle sebaliknya terpaksa bekerja keras untuk mengekang kelincahan Suarez, Rodriguez dan Kuyt.
Newcastle sebaliknya jarang-jarang mencipta peluang jaringan yang jelas dan keputusan tersebut mencerminkan bagaimana perlawanan yang berlangsung semalam.

Liverpool membuka jaringan pada minit ke-10 daripada satu serangan dari sebelah kanan.
John Flanagan menerima bola di bahagian sayap dan membuat hantaran lintang dari bahagian kanan.
Barisan pertahanan Newcastle gagal menyelamatkan keadaan apabila bola ditendang kepada Rodriguez, yang menjaringkan hat-trick semasa Liverpool membenam Birmingham City 5-0 pada hujung minggu lalu.
Rembatan penyerang Liverpool itu terkena Danny Simpson sebelum melewati penjaga gawang Newcastle, Tim Krul.
Permainan terus berjalan dengan rancak, pantas dan terbuka tetapi tidak ada gol yang dijaringkan lagi sehingga rehat.
Seminit selepas perlawanan dimulakan, Joey Barton membuat cubaan yang tidak tersasar jauh. Mungkin ia adalah cubaan terbaik Newcastle sejauh ini.
Suarez terus menimbulkan banyak masalah kepada barisan pertahanan Newcastle dan pada minit ke-56, satu hantaran silang daripada Rodriguez singgah pada palang gol Newcastle.
Newcastle melancarkan satu serangan selepas itu tetapi Liverpool pula yang menambah jaringan.
Penjaga gawang Reina membuat tendangan jauh ke kawasan Liverpool yang disambut baik oleh Suarez.
Dalam usahanya untuk menyekat Suarez, Michael Williamson telah menjatuhkan penyerang Uruguay Liverpool itu.
Kuyt dengan tenang menyempurnakan penalti yang diberikan untuk meletakkan Liverpool 2-0 di hadapan penyokong sendiri.

Pada minit ke-60, Kuyt nyaris menghukum Newcatle apabila tandukannya daripada satu tendangan bebas tersasar sedikit.
Namun, empat minit kemudian, barisan pertahanan Newcastle gagal menyekat Suarez daripada menjaringkan gol ketiga Liverpool.
Beliau yang membawa bola ke petak penalti Newcastle, cuba membuat umpanan kepada Kuyt.
Tetapi, bola terkena paha Fabricio Coloccini dan melantun kembali kepadanya dan Suarez tidak bermasalah menewaskan Krul dari jarak dekat.
Dalglish memasukkan penyerang Andy Carrol menggantikan Rodriguez dengan permainan tinggal sekitar 20 minit lagi.
Tetapi pemain tinggi lampai yang merupakan pembelian rekod bagi Liverpool, tidak menyerlah dan tidak langsung menguni Krul.

Pada minit ke-85, satu cubaan pemain midfield Newcastle, Kevin Nolan, melambung melewati palang gol Liverpool.
Pada lewat permainan, Newcastle cuba mengasak Liverpool dengan Jonas Gutierrez merupakan pemain mereka yang paling bekerja keras dan berbahaya.
Bagaimanapun, Liverpool bertahan dengan mantap dan mengekalkan kedudukan itu hingga wisel penamat.
Kedua-dua Liverpool dan Spurs kini mempunyai 55 mata dengan pasukan Dalglis mempunyai baki tiga lagi perlawanan sementara Spurs mempunyai baki emat perlawanan.

Manchester City yang sehingga semalam mempunyai lima lagi baki perlawanan, kini mempunyai 59 mata dan menduduki tempat keempat liga - kedudukan terakhir yang melayakkan kelab itu bersaing dalam Liga Juara-Juara musim depan.

No comments:

Post a Comment